CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, June 4, 2008

Hukum Menetapkan Harga (Tas’ir)


Di antara isu yang terkait rapat dengan penimbunan dan penyorokan ini adalah isu kenaikan dan penetapan harga (Tas’ir). Tas’ir merupakan manifestasi dari aktiviti Ihtikar yang berlaku. Justeru, apakah pandangan Islam tentang Tas’ir?. Kita perlu sedar bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada setiap orang untuk membeli dan menjual sesuatu selama mana barangan tersebut adalah halal dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga membiarkan manusia untuk menjual dan membeli dengan harga yang disukainya. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ”Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”. Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam secara jelas telah memberikan hak menentukan harga kepada mereka yang terlibat di dalam melakukan transaksi/aqad tersebut sahaja.

Di dalam Sistem Ekonomi Kapitalis yang diamalkan hari ini, kita sering menyaksikan bahawa Pemerintah menetapkan harga apabila berlakunya Ihtikar. Peristiwa sebegini boleh dikatakan telah menjadi routine. Penetapan harga oleh Negara bermaksud Pemerintah atau orang-orang yang diberi kuasa oleh Pemerintah mengarahkan para peniaga tidak menjual sesuatu komoditi kecuali dengan harga tertentu (yang telah ditetapkan) atas alasan kepentingan umum. Jadi, para peniaga tidak dibenar menaikkan atau menurunkan harga, selain dari apa yang telah ditetapkan. Hal ini bermaksud Pemerintah telah campurtangan di dalam aktiviti jual-beli. Jadi, apakah hukumnya Negara menetapkan harga sesuatu barang dagangan?

Allah sekali-kali tidak memberi hak kepada Pemerintah untuk menetapkan harga. Dengan kata lain, penetapan harga oleh Negara adalah haram. Penetapan harga ini akan memaksa rakyat untuk melakukan aktiviti jual beli dengan harga tersebut. Islam telah mengharamkan penetapan harga secara mutlak. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas, “Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Mengenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki, lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.’”

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah, ”Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ’Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.’”

Mereka meminta kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) untuk menetapkan harga. Kemudian Rasulullah menyatakan bahawa jika baginda berbuat demikian bererti baginda telah melakukan kezaliman. Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa penetapan harga (yang dilakukan oleh Negara) sebenarnya adalah satu bentuk kezaliman. Jika Rasulullah sendiri tidak melakukan perkara ini, apakah hak ke atas pemimpin untuk menetapkan perkara yang sama. Siapakah yang ingin kita ikuti di dalam agama ini? Rasulullah atau ...? Oleh yang demikian, mana-mana Pemerintah yang telah menetapkan harga, maka mereka telah berdosa kerana melakukan suatu keharaman. Jika Sistem Pemerintahan Islam berjalan, maka pemerintah ini akan diadili di Mahkamah Madzalim kerana kefasikan yang telah mereka lakukan.

Sebagaimana Ihtikar, Tas’ir juga boleh berlaku ke atas apa jua komoditi, samada makanan atau bukan. Hadis-hadis berkenaan Tas’ir mencegahnya secara mutlak, dalam apa bentuk sekalipun dan tidak ada pengecualian-pengecualian khusus. Jika ditinjau dari segi realiti, penetapan harga adalah sesuatu yang amat membahayakan masyarakat dan negara dalam apa keadaan sekalipun, samada semasa perang atau aman. Ini adalah kerana apabila ada penetapan harga, maka masyarakat akan berjual-beli di pasaran tertutup untuk mengelak dari pengawasan Negara. Dengan kata lain, inilah yang dinamakan pasaran gelap (black market). Harga yang tinggi menyebabkan barang hanya akan dikuasai atau dimiliki oleh orang yang kaya sahaja, yang berpendapatan rendah atau yang miskin menjadi mangsa. Penetapan harga juga akan memberi kesan kepada penggunaan (consumption) dan seterusnya akan mempengaruhi pengeluaran (production). Situasi ini boleh membawa kepada krisis ekonomi.

Di dalam Islam, setiap orang mempunyai hak ke atas barangan kepunyaan mereka. Pemilikan ke atas harta (ownership of the property) memberikan hak kawalan (control) ke atas harta yang dimiliki. Penetapan harga akan menyebabkan pemaksaan (interdiction) ke atas harta seseorang, perkara yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Jadi, tidak boleh (haram) melakukan interdiction (Hajr) ke atas harta seseorang yang mana menghalang mereka dari memperjual-belikan harta tersebut mengikut harga yang mereka sukai. Sistem Ekonomi Islam benar-benar menjaga hak setiap individu agar tidak dirampas oleh individu yang lain. Hak individu juga dijaga oleh Islam dari dirampas dengan sewenang-wenangnya oleh Negara.

Jika harga melambung akibat peperangan atau krisis politik, ataupun akibat daripada kekurangan barang di pasaran, maka Islam ada jalan penyelesaiannya. Jika ia berlaku akibat dari Ihtikar, maka jelas Islam telah mengharamkannya. Tetapi jika ia berlaku memang semata-mata kerana kekurangan (shortage) barang tersebut, maka Khalifah, yang Allah tugaskan untuk memelihara kemaslahatan rakyat, wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah kekurangan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan membawa barangan tersebut dari tempat lain (import), sekaligus akan menstabilkan semula harga. Inilah yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa berlaku kebuluran di Hijaz (yang dikenali sebagai peristiwa Ramadha) akibat kurangnya bahan makanan pada suatu tahun, yang menyebabkan harga makanan telah melambung tinggi. Khalifah Umar al-Khattab tidak menetapkan harga tetapi sebaliknya mengirim dan membekalkan makanan dari Mesir dan Syam ke Hijaz sehingga krisis ini selesai tanpa perlunya penetapan harga.

Wahai kaum muslimin! Ini hanyalah secebis dari keindahan Sistem Islam, bak sebentuk cincin di padang pasir. Maha Suci Allah yang mencipta sistem yang penuh dengan keindahan, keadilan dan kesempurnaan ini. Sistem Islam adalah sistem yang Allah ciptakan untuk manusia. Ianya sesuai dan wajib diterapkan di sepanjang zaman. Tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Dengan penerapan yang kaffah, manusia akan keluar dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Saudaraku, masihkah kalian berharap pada Sistem Kapitalis yang begitu menekan, menindas dan merampas hak kalian. Ideologi kafir inilah yang dipaksakan ke atas kita sekarang. Masihkah kalian menaruh harapan pada Ideologi Kapitalis yang busuk dan jijik ini?

0 comments: